Najib tidak bantah cadangan Jho Low

Najib tidak bantah cadangan Jho Low

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak membantah cadangan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho berhubung pelantikan beberapa individu sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menafikan pernah berbincang dengan Jho Low mengenai sepucuk surat yang diterima oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi antara lainnya menyentuh mengenai penukaran nama Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada 1MDB.

“Pada 19 Julai 2009, terdapat sepucuk surat daripada Datuk Shahrol kepada saya dan disalinkan kepada Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang memberitahu bahawa disebabkan Kementerian Kewangan akan menjadi pemegang saham tunggal 1MDB, maka kelulusan pemegang saham diperlukan bagi menukar nama TIA kepada 1MDB.

“Surat itu juga (antara lain) mencadangkan bahawa Perdana Menteri akan menjadi Pengerusi kekal Lembaga Penasihat 1MDB dan Datuk Bakke Salleh, Tan Sri Azlan Zainol dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dilantik menjadi pengarah.

“Pertama sekali saya tidak pernah memberitahu Jho Low maklum balas saya mengenai surat ini malah saya tidak pernah membincangkan isi kandungan surat dengannya. Saya tidak pernah memberikan cadangan nama bagi anggota Lembaga Penasihat atau Ahli Lembaga Pengarah.

“Bagaimanapun, disebabkan nama yang dicadangkan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah adalah individu yang berkelayakan dan terkemuka serta merupakan individu yang memang terkenal dalam dunia korporat, jadi saya tidak membantah (cadangan nama tersebut),” kata Najib.

Najib berkata demikian ketika menyambung membaca pernyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari kedua beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, Najib dalam keterangan bela dirinya menyatakan Shahrol Azral bersubahat dengan Jho Low kerana sering menurut arahan ahli perniagaan dalam buruan itu.

“Berdasarkan keterangan yang telah diberikan di mahkamah ini, saya percaya Datuk Shahrol telah menghubungi Jho Low sebaik sahaja meninggalkan Istana Terengganu kerana beliau tahu Jho Low ada kepentingan dalam penerbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

“Saya juga percaya ini kerana sekiranya Datuk Shahrol benar-benar percaya bahawa Jho Low adalah penasihat Sultan Mizan, adalah pelik untuk Datuk Shahrol menghubungi Jho Low memaklumkan perkara yang berlaku berhubung tindakan Sultan Mizan yang mengarahkan untuk menghentikan terbitan bon tersebut,”kata Najib.

Tambahnya, berdasarkan keterangan yang diberikan di mahkamah juga, Najib baharu mengetahui surat berhubung penukaran nama TIA dikarang dan dibuat oleh Shahrol Azral dan Jho Low di rumah ahli perniagaan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah masih berlangsung.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya