KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan pernah mengadakan perbincangan dengan bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho untuk menukar Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menafikan ada menerima surat atau mengeluarkan surat untuk berbuat demikian.
“Pertamanya, saya tidak ingat mengenai surat ini kerana tidak terdapat sebarang `sah terima’ daripada saya atau pejabat saya mahupun ditunjukkan kepada saya sewaktu siasatan.
“Sekiranya saya ada menerima surat ini, saya akan fikir bahawa ia disediakan oleh Datuk Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) kerana ada tandatangannya dan saya tidak akan tahu bahawa Jho Low yang membantu Shahrol membuat surat ini.
“Keduanya, saya menafikan secara sepenuhnya bahawa pernah berbincang dengan Jho Low atau Tan Sri Mohamed Yakcop berhubung penukaran TIA kepada Malaysia Development Berhad kerana saya dari dahulu lagi lebih cenderung kepada TIA mempunyai kawalan penuh dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ketiga, sekiranya benar, Jho Low bersekongkol dengan saya untuk menukar TIA kepada Malaysia Development Berhad dan terdapat perbincangan mengenai perkara ini di antara saya, Jho Low dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, surat sebegini tidak diperlukan bagi menyakinkan saya dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk menukar TIA kepada Malaysia Development Berhad,” kata Najib.
Tambah bekas Presiden UMNO itu, beliau hanya menyedari bahawa surat berkenaan telah dikarang oleh Shahrol dan Jho Low di kediaman ahli perniagaan dalam buruan itu.
Selain itu, Najib berkata hanya pada perbicaraan ini beliau mendapati bahawa Shahrol mempercayai terdapatnya perbincangan di antara dirinya dengan Jho Low dan Nor Mohamed Yakcop berhubung penukaran nama syarikat itu.
Najib berkata demikian ketika menyambung membaca pernyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari kedua beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Terdahulu, Najib menyatakan Shahrol terhutang budi dengan nama Jho Low kerana ahli perniagaan dalam buruan itu telah mendapatkannya satu jawatan dengan gaji dua kali ganda berbanding kerjanya sebelum ini serta membolehkannya berbuat apa sahaja termasuk mengelirukannya.
“Shahrol Azral membenarkan Jho Low menguruskan perkara dengan sesuka hati, sehingga ke tahap mengelirukan saya, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu.
“Saya benar-benar ingin tahu mengapa Shahrol Azral mencadangkan beliau mewakilkan kepada Jho Low untuk merangka surat (penukaran Lembaga Pelaburan Terengganu kepada 1MDB) hanya kerana hubungan rapat antara saya dan Jho Low.
“Jika hubungan saya dengan Jho Low memang begitu rapat, maka Datuk Shahrol, yang mempunyai kuasa untuk melantik kakitangan pengurusan seperti yang dilakukannya dengan Jasmine Loo (peguam 1MDB), beliau sepatutnya melantik Jho Low sebagai pembantu atau perunding,” kata Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) masih lagi berlangsung.-UTUSAN