Najib nafi tandatangan, tulisan pada dokumen 1MDB miliknya

Najib nafi tandatangan, tulisan pada dokumen 1MDB miliknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan bahawa tandatangan dalam Minit Mesyuarat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Julai 2010 adalah miliknya.

Bekas Ahli parlimen Pekan itu juga menafikan nota ringkas yang menyatakan ‘pengurusan perlu melakukan analisis penuh risiko dan tindakan usaha wajar perundangan dan kewangan’ yang terdapat pada Kertas Cadangan pelaburan GDF Suez (syarikat tenaga, elektrik dan gas di Perancis) adalah tulisan miliknya.

“Ini bukan tandatangan saya. Saya dengan yakin boleh menyatakan bahawa ia bukan tandatangan saya kerana saya tidak pernah menghadiri mesyuarat ini dengan Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Ini bukan tulisan saya. Jika dibandingkan dengan dokumen sebelum ini, jelas tulisan saya adalah berbeza. Tambahan pula, menjadi amalan saya bahawa sebarang nota yang saya tulis akan ada tarikh dan tandatangan saya di bawahnya. Nota ini tidak mempunyai tanda tangan saya menunjukkan ia tidak dibuat oleh saya,” kata Najib.

Ini merupakan kali kedua Najib membangkitkan isu tandatangan dan tulisannya yang didakwa telah dipalsukan.

Kali pertama ia timbulkan adalah pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd., namun pembelaan tidak memanggil mana-mana saksi pakar untuk menyokong dakwaan itu. Najib kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan itu.

Pada prosiding hari ini juga, Najib telah memetik potongan ayat daripada surah An-Nisa yang berbunyi: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.”

Najib membuat petikan tersebut apabila menyentuh mengenai tindakan bekas ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail yang didakwa memberikan keterangan yang tidak adil.

Tambahnya, beliau kecewa dengan Ismee yang berusaha untuk mengaitkannya dengan salah laku dengan mencadangkan bahawa Lembaga Pengarah perlu menandatangani dokumen dengan memberi gambaran bahawa Najib  ingin mereka berbuat demikian.

“Saya tidak pernah menyangka seseorang seperti Tan Sri Ismee, seseorang yang saya anggap sebagai seorang yang penuh integriti dan komited dalam menegakkan ajaran Islam, akan berbuat demikian.

“Untuk mendengar fakta yang disalah ertikan daripadanya adalah sesuatu yang mengecewakan dan bukanlah sesuatu yang saja jangka akan datang daripada seseorang yang saya pandang tinggi.

“Bagaimanapun, siapalah saya untuk membuat spekulasi kenapa beliau memilih untuk berbuat demikian. Tambahan pula, beliau bukannya satu-satunya saksi pendakwaan yang memilih untuk memberikan keterangan yang memutar belitkan kebenaran terhadap saya,” kata Najib.

Najib berkata demikian ketika menyambung membaca penyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari ketiga beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya