Nahas WCE: Isteri sempat minta maaf sebelum hembus nafas terakhir - Utusan Malaysia

Nahas WCE: Isteri sempat minta maaf sebelum hembus nafas terakhir

MOHAMMAD Syuqur Ahmad menunjukkan gambar isteri dan anaknya yang maut dalam nahas di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan dekat Sitiawan hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Wanita yang maut dalam kemalangan di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan di sini hari ini sempat memohon maaf kepada suami sebelum menghembuskan nahas terakhir.

Suami mangsa, Mohammad Syuqur Ahmad, 24, berkata, dalam keadaan nazak, isterinya itu berulang kali memohon maaf sebelum dia bertindak menenangkan wanita itu

“Arwah isteri cedera parah namun dia masih lagi bernyawa. Dalam keadaan nazak itu dia sempat minta maaf dan saya beritahu supaya jangan fikir apa-apa.

“Saya sempat mengajar isteri mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia tiba-tiba senyap,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Seri Manjung, di sini hari ini.

Menurut pemandu lori itu, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri serta dua anak dalam perjalanan dari rumah di Gelung Pepuyu, Bota pada pukul 4 pagi untuk mengambil lori yang di parkir di syarikat di Kampung Acheh, Sitiawan.

Katanya, mereka sekeluarga juga bercadang untuk sarapan pagi di sebuah restoran 24 jam sebelum kereta dipandunya hilang kawalan ketika cuba mengelak haiwan yang cuba melintas jalan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu, apabila sedar, saya lihat isteri parah dengan seorang anak telah tercampak keluar. Kami dibantu oleh orang awam keluar dari kereta yang terbalik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Syuqur memberitahu, dia sekeluarga baru pulang dari kampung isterinya di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan dan tiba di rumah mereka sekitar pukul 11 malam tadi.

Katanya, ketika di rumah keluarga mertua, isterinya itu dilihat berbeza apabila kelihatan gembira dan banyak ketawa.

“Isteri memang bersungguh-sungguh mahu balik ke kampung jumpa ibunya. Saya perasan ketika di sana, dia banyak ketawa dan ada masa dia diam.

“Malah ketika dalam perjalanan untuk ambil lori pun dia berkali-kali pesan untuk sampaikan salam kepada ibu saya dan ibu mertua. Ketika ini saya hairan dan bertanya kenapa sebelum dijawab isteri ‘tak tahulah, nak jadi kot’,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 5 pagi itu, Nor Fadhilah Mohd. Azlan, 24, dan bayi lelakinya yang berusia 15 bulan, Muhammad Muhammad Iman Irfan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian itu, Mohammad Syuqur yang memandu kereta Perodua Kelisa dan seorang lagi anak lelakinya, Muhammad Muhammad Alif Sufi, 3, pula cedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, kemalangan membabitkan kereta Perodua Kelisa dinaiki empat beranak itu di mana kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, kereta itu kemudiannya terbalik di tengah jalan sehingga mengakibatkan seorang bayi lelaki tercampak keluar dari kenderaan.

“Pada masa sama, sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti tidak sempat mengelak telah melanggar mangsa dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 27 tahun pula merempuh kereta Perodua Kelisa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya