PETALING JAYA: Perdana Menteri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 203.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap keluarga-keluarga mangsa diberikan kesabaran dan ketabahan di waktu sukar itu.
“Mendoakan agar mereka yang terkoban ini diberi keampunan serta dikurnia tempat istimewa di sisi-Nya, insya-Allah,” katanya menerusi satu ciapan di laman X, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun terlibat dalam kemalangan maut itu dan setakat ini, seramai 33 mangsa turut dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata, nahas kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Kini, mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan kenderaan.