Nahas maut: Pengguna marah, gesa perketat undang-undang

Nahas maut: Pengguna marah, gesa perketat undang-undang

NAHAS lima kenderaan di Kilometer 204 PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai melahirkan rasa marah dan kecewa terhadap penguatkuasaan undang-undang serta sikap pemandu kenderaan berat susulan kemalangan yang meragut tujuh nyawa di Melaka, semalam. 

Malah, rata-rata juga turut berharap agar kerajaan mengambil langkah drastik bagi memastikan kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat dapat dikurangkan.

Bagi K. Hoe Ong, hukuman penjara perlu dilaksanakan kepada pemilik kenderaan berat dan bukan hanya dikenakan kepada pemandu lori semata-mata.

“Bukan sekadar denda dan penjara kepada pemnadu, tetapi pemilik juga.

“Tidak mungkin dia (pemilik) tidak tahu. Ambil wang tahu tapi hal lain tidak tahu,” katanya menerusi ruang komen di Facebook Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Dalam pada itu bagi Abdullah Hisyam, dia berharap agar pemantauan dilakukan lebih kerap di lebuh raya terutama pada waktu malam untuk  mengesan pemandu yang melebihi had laju.

“Menteri tolong banyakkan pemantauan di lebuh raya pada waktu malam sehingga ke subuh hari. Kerah anggota penguatkuasa bersembunyi atau menyamar di tepi lebuh raya. Pasti banyak melanggar had laju pada waktu tersebut.

“Kita tidak pasti ada kemungkinan pemandu di bawah pengaruh alkohol untuk ketahanan semasa memandu supaya tidak mengantuk atau letih,” katanya. 

Dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah itu, tujuh maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Kemalangan berlaku pukul 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Sementara itu  Anthony dalam satu kenyataan berkata, beliau telah  mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut.

Beliau juga dalam masa yang sama turut menggesa agar tindakan susulan yang sewajarnya dapat diambil terhadap syarikat lori treler serta bas terlibat.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN