PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan, hari ini.
Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang giat mengumpul maklumat berkaitan daripada sumber rasmi dan mengikuti rapat perkembangan insiden itu yang mengorbankan 28 orang setakat ini.
“Ingatan dan doa kami bersama dengan keluarga mangsa yang terlibat dalam masa yang sukar ini.
“Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedutaan Besar Malaysia di Seoul boleh dihubungi menerusi alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republic of Korea Phone: +82-2-2077 8600 (General Line) / +82-10-8974-8699 Email: [email protected]
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, sekurang-kurangnya 28 terkorban selepas pesawat dinaiki terhempas di lapangan terbang berkenaan.
Pesawat Jeju Air yang membawa 175 penumpang dan enam kru, dalam penerbangan pulang dari Thailand dan kemalangan berlaku ketika ia cuba mendarat. – UTUSAN