KUALA LUMPUR: Kekal menjadi sorotan, pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan atau Che Ta tegas menafikan dakwaan pinjaman perniagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mempunyai kaitan dengan tajaan biasiswa pelajar.
Maklum dengan dakwaan tersebut, Che Ta yakin isu hutangnya dengan institusi itu tidak menjejaskan kelangsungan hidup pelajar bahkan sempat berpesan kepada orang ramai untuk percaya terhadap rezeki yang telah ditetapkan Sang Pencipta.
“Biasiswa pelajar tiada kena mengena dengan pinjaman perniagaan.
“Tetapi kalau anak awak belajar pandai, rezeki tak pernah salah alamat. Insya-Allah,” katanya dalam sebuah ruangan komen.
Che Ta berkata demikian selepas seorang individu memintanya melangsaikan hutangnya dengan Mara dengan mengaitkan soal biasiswa.
“Che Ta cepat bayar hutang. Ramai pelajar nak pakai duit,” ujar individu terbabit.
Kurang senang dengan respons pelakon drama Kiah Pekasam itu, rata-rata netizen kekal menghentam Che Ta dan menyifatkannya sebagai seorang yang angkuh.
“Jangan bagi alasan, pandai cakap rezeki tak salah alamat tetapi tahu tak hukum kalau tidak bayar hutang?Ramai orang Melayu yang perlukan modal untuk berniaga jadi, bayar hutang awak!,” tegas netizen.
“Masya-Allah sombongnya jawapan,” tutur netizen lain.
“Pandai pula menjawab, dah tu bayarlah balik,” jelas netizen lagi.
Sebelum ini, kediaman pelakon itu dilaporkan telah diserbu oleh pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta, pada 10 Disember lalu.
Che Ta difahamkan telah membuat pinjaman dengan agensi berkenaan sejak tahun 2017 dan dilaporkan pernah melunaskan hutang tersebut sebanyak RM50,000.
Malah, usahawan itu turut dikatakan sudah melunaskan bayaran di pejabat Mara baru-baru ini, namun tidak dapat dipastikan amaun yang dibayar. -UTUSAN