Musim tengkujuh sering kali dikaikan dengan negeri-negeri di sebelah Pantai Timur terutamanya Kelantan. Pada masa ini keadaan cuaca amat tidak menentu dan semua orang akan berjaga-jaga tetapi Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan baru-baru ini berjaya menganjurkan kejohanan olahraga musim tersebut,
Demi memastikan Kejohanan Olahraga Tahunan, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan baru-baru ini berjaya merancang aktiviti kejohanan tersebut berlandaskan takwim yang telah dirancang oleh pihak sekolah.
Setiap kali melakukan latihan terutamanya acara padang, hujan akan merencatkan jadual latihan.
Namun begitu pihak sekolah tetap menjalankan latihan di tempat tertutup iaitu di dewan terbuka sehingga hujan reda. Kebiasaannya, untuk latihan di dewan terbuka lebih menjurus kepada aktiviti lompat tinggi dan juga sukaneka.
Begitulah yang dilakukan selama tiga hari latihan di mana guru dan murid sering kali dihambat oleh hujan yang turun. Namun begitu saringan dan pemilihan atlet berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Guru-guru yang diketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Mazraihan Hilmi akan berusaha sedaya upaya tidak mengecewakan murid lantaran minat mereka terhadap aktiviti sukan ini sangat tinggi.
“Kalau ikutkan, kebanyakan sekolah telah selesai melakukan kejohanan ini.
Namun disebabkan kekangan masa, olahraga ini tetap dilaksanakan jua biar pun keadaan cuaca yang agak tidak menentu,” ujarnya yang memuji juga semangat guru menghias kain rentang yang diperbuat daripada daun kelapa, daun kantan, serta menggubah beg plastik menjadi bentuk bunga sebagai tanda siap siaga menghadapi hujan
Di samping kecemerlangan akademik yang menjadi teras visi dan misi Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, aktiviti di bawah bidang kokurikulum ini adalah untuk memenuhi aktiviti selaras dengan perancangan pelan bertindak. Pihak sekolah merancang untuk mengadakan kejohanan ini dengan penganjuran ini mencakupi eleman dalam memajukan perkembangan sahsiah, sosial, dan jasmani di samping sebagai suatu aktiviti riadah yang sihat serta sesuai dengan dasar kerajaan 1 Murid 1 Sukan.
Di pedalaman Jeli yang dikenali sebagai Bandar Paling Bahagia ini, murid-murid rata-rata dalam kalangan B40. Mereka sudah terbiasa dengan kehidupan suasana kampung seperti mandi sungai, bermain dengan selut, bermandi lumpur, digigit pacat dan aktiviti lasak yang lain.
Oleh itu, tidak ada halangan buat mereka jika melakukan aktiviti dalam keadaan padang yang becak, licin berserta hujan renyai yang turun.
Murid-murid telah diterapkan dengan tujuan utama penganjuran sukan tahunan ini yang diadakan terutama sekali dalam menggalakkan semangat kesukanan, kerjasama, dan persaingan sihat dalam kalangan murid.
Ternyata pada hari terakhir kejohanan, murid-murid berjaya mengadakan perarakan antara rumah Merah, Hijau, Biru, Kuning, PPKI dan juga prasekolah.
Aktiviti balapan iaitu larian sudah pastinya akan mendapat perhatian ramai. Rata-rata ingin melihat siapa yang akan menjadi suara. Murid-murid yang bertanding sudah pastinya akan mengingati satu peribahasa iaitu genggam bara api biar sampai jadi arang.
Peribahasa ini sering menjadi motivasi untuk para peserta dalam aktiviti ini agar mereka terus berusaha sehabis daya dan bekerjasama dengan penuh dedikasi untuk menjadi juara sekali gus menyumbang mata kepada rumah masing-masing.
Apatah lagi pada hari tersebut peserta disokong oleh guru, ibu bapa, dan komuniti setempat.
Rata-rata kagum murid berkaki ayam berlari dalam balapan yang agak becak dan lorong yang hilang garisan kerana hujan.
Menurut Penyelaras Kejohanan Olahraga Sekolah, Mohd Ismail Berahim, bagi mencapai objektif membina jati diri murid, program seumpama ini harus diteruskan saban tahun dengan pengisiannya yang mampu menarik minat murid-murid biar pun dalam keadaan cuaca dan kekangan masa yang tidak menentu.
Selain itu, kejohanan tersebut yang mendapat tajaan daripada sebuah syarikat minuman yang datang daripada Kuala Lumpur dan sokongan penuh daripada guru besar Laila Ismail.
“Kejohanan olahraga seperti ini membuktikan bahawa semua murid wajar diberikan peluang untuk menyertai aktiviti sukan yang menyihatkan minda dan jasmani tanpa mengira peringkat umur biar pun setiap kali ingin memulakan acara para guru akan mendongak ke langit untuk memastikan keadaan cuaca sentiasa keadaan baik,” ujarnya.
“Dengan komitmen semua pihak, kejohanan olahraga tahunan dan segala aktiviti meningkatkan semangat murid wajar dibuat sekali gus memberi pengalaman yang berguna sebelum mereka menuju ke sekolah menengah.
Pada hari kejohanan ini pasukan Rumah Kuning buat julung kalinya dinobatkan johan antara rumah,” ujarnya.
Murid-murid pulang dengan semangat baharu, rasa lebih yakin, dan pastinya lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang. Inilah yang dikatakan generasi harapan yang telah didedahkan dengan pengalaman luar biasa yang juga dapat membina kemahiran hidup yang berguna. –UTUSAN