Muhammad Zaharif tidak mati serta merta - saksi - Utusan Malaysia

Muhammad Zaharif tidak mati serta merta – saksi

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi perbicaraan kes bunuh yang beliau hadapi. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie tidak meninggal dunia serta-merta selepas kejadian perlanggaran berlaku.

Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, yang juga saksi pendakwaan ke-24 itu juga bersetuju dengan cadangan M. Athimulan bahawa mangsa meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas perlanggaran.

Malah, beliau juga bersetuju yang mangsa mengalami ‘trauma death’ sebelum meninggal dunia.

Athimulan: Boleh saya beritahu, sebelum Muhammad Zaharif meninggal dunia, dia mengalami trauma?
Dr Ain Nurfarahana: Ya.

Athimulan: Setuju dengan saya bahawa ‘trauma death’ boleh dicegah dengan menyediakan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat dan efektif kepada orang yang cedera?
Dr Ain Nurfarahana: Secara amnya saya setuju.

Athimulan: Adakah kes ini ‘trauma death’?
Dr Ain Nurfarahana: Ya.

Athimulan: Oleh kerana kes ini ‘trauma death’, kecederaan-kecederaan yang terdapat pada badan mangsa mestilah berpadanan dengan kerosakan pada pakaian?
Dr Ain Nurfarahana: Setuju.

Dr Ain Nurfarahana berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh membabitkan pegawai polis Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, saksi itu memberitahu, beliau tidak pasti sama ada pegawai penyiasat hadir sepanjang bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik HRPB.

Saksi bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa pegawai penyiasat perlu hadir sepanjang proses bedah siasat dijalankan bagi menerangkan kepada pegawai polis itu berkaitan kecederaan dialami mangsa.

Selain itu, Dr Ain Nurfarahana memberitahu jurufoto polis tidak berada bersamanya sepanjang proses bedah siasat dijalankan bermula pukul 3 hingga 4.45 petang pada 15 Disember 2023.

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Dr Ain Nurfarahana menjelaskan bahawa mangsa tidak mati serta-merta selepas perlanggaran berlaku kerana kecederaan yang dialami bukan jenis kecederaan yang boleh menyebabkan kematian serta-merta.

Katanya, contoh kecederaan yang menyebabkan kematian serta-merta apabila melibatkan pangkal otak.

“Daripada hasil bedah siasat, saya boleh mencadangkan mangsa ada tanda seperti masih hidup kerana dalam saluran pernafasannya ada buih-buih yang bercampur darah. Ini biasa terjadi apabila seseorang itu mengalami sesak nafas,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan berhubung ‘trauma death’, Dr Nur Ainfarahana menjelaskan bahawa ia bergantung kepada kes di mana ada kes kecederaan yang disebabkan trauma di mana mangsa masih hidup dan ada juga sebaliknya.

“Ada kecederaan yang disebabkan trauma, ada yang hidup dan ada menyebabkan kematian. Jadi saya tidak boleh jelaskan secara keseluruhan,” katanya.

Perbicaraan kes bunuh masuk hari ke-13 itu melibatkan Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak yang didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Mohd. Nazri, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya