Muhammad Harith sempat imam solat Asar sebelum kena renjatan elektrik

Muhammad Harith sempat imam solat Asar sebelum kena renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang dekat sini sempat mengimamkan solat Asar sebelum kejadian yang meragut nyawanya, semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Muhammad Harith Mohd. Fazrul disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri.

Bapanya, Mohd. Fazrul Mohd. Nasir, 40, berkata, anaknya sentiasa berani ke hadapan untuk mengimamkan solat jemaah malah sempat menjadi imam solat Asar kira-kira 30 minit sebelum kejadian menimpanya.

“Dia kerap menjadi imam dan silih berganti dengan rakan-rakan di sekolah, malah ketika sekolahnya adakan simulasi solat jenazah pun dia yang jadi imam.

“Saya selalu pesan kalau saya meninggal dunia nanti, saya nak dia imamkan solat jenazah saya tapi dia yang pergi dahulu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah Serdang di sini hari ini.

Mohd. Fazrul berkata, walaupun dia reda dengan ketentuan Allah terhadap kejadian menimpa anaknya namun masih bersedih kerana Muhammad Harith juga yang dianggap ‘rakan karib’ kerana hampir setiap masa bersamanya.

Jelasnya, kali terakhir berjumpa dengan Muhammad Harith ketika menghantar kanak-kanak itu ke sekolah pagi pada hari kejadian.

“Semalam kami sampai di sekolah kira-kira pukul 7.50 pagi, selalunya sebaik sahaja turun kereta Harith akan melambai dan cakap ‘bye’ tetapi semalam dia seperti terlupa dan terus berjalan.

“Namun, kemudian dia berhenti dan menoleh kembali sebelum melambai sambil tersenyum. Itulah kali terakhir saya lihat Harith senyum dekat saya,” katanya.

Mohd. Fazrul berkata, sepatutnya hari ini merupakan pengumuman keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) anaknya itu, tapi dia dan isteri belum sempat memeriksanya serta ralat mengenangkan janji untuk membelikan permainan video sekiranya arwah memperoleh keputusan yang baik.

Sementara itu, ibu arwah, Norhidayah Husin, 39, berkata, anaknya seorang yang peramah, ringan tulang, dan disenangi ramai orang di sekelilingnya termasuklah rakan-rakan sekolah, guru serta jiran tetangga di taman perumahannya.

“Arwah Harith sangat suka dengan kuda. Kadang-kadang pada hujung minggu, dia akan tolong buat kerja sambilan dari 9 pagi sehingga 7 petang untuk bersihkan kuda dan kandang di MAEPS. Apabila habis waktu kerja, dia dibenarkan untuk naik kuda. Itulah rutin mingguannya,” katanya.

Jenazah Muhammad Harith dijangka dimandikan dan disolatkan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UPM pada petang ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan dalam kenyataan berkata, kejadian itu yang berlaku pada 6.30 petang semalam dan laporan mengenainya dibuat seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.

Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut sementara pihak polis menunggu laporan hasil bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN