KUALA LUMPUR: Akademi memanah, Muezza Archery menyasarkan pembukaan 100 cawangan di seluruh negara menjelang 2025 sebagai usaha memperkasakan sukan memanah dalam kalangan kanak-kanak.
Pengasas Muezza Archery, Anas Izuan Azmi, berkata sasaran tersebut adalah sebahagian daripada visi akademi itu untuk menjadikan memanah sukan pilihan utama di Malaysia, khususnya di kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk memperluaskan akses kepada latihan memanah, tetapi juga memupuk nilai-nilai positif seperti disiplin, fokus dan keyakinan diri dalam kalangan generasi muda.
“Kami yakin sukan memanah mampu membentuk karakter kanak-kanak dengan nilai-nilai seperti kesabaran, pengendalian emosi, dan keberanian menghadapi cabaran. Melalui pengembangan ini, lebih ramai keluarga akan dapat menikmati manfaatnya,” katanya.
Jelasnya, kajian menunjukkan memanah bukan sekadar sukan, tetapi juga alat pendidikan yang efektif terutama melalui latihan, kanak-kanak belajar mengasah kemahiran fokus dan membuat keputusan, yang penting untuk kejayaan dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Selain itu, memanah juga meningkatkan kecergasan fizikal dengan memperbaiki koordinasi mata dan tangan serta kekuatan otot.
“Muezza Archery menyediakan pendekatan latihan yang holistik, menggabungkan pembangunan fizikal dan mental dengan nilai-nilai Islamik,” tambah Anas Izuan.
Dalam pada itu, Anas Izuan berkata, sasaran pembukaan 100 cawangan dalam tempoh singkat ini turut disertai cabaran besar, termasuk mendapatkan lokasi strategik, melatih tenaga pengajar yang berkemahiran, serta memastikan kos operasi yang berpatutan.
“Dengan sokongan komuniti dan ibu bapa, kami optimis dapat merealisasikan sasaran ini. Sukan memanah berpotensi besar untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
“Kami juga aktif menganjurkan pertandingan peringkat akar umbi dan program motivasi untuk mencungkil bakat-bakat baru. Akademi ini berharap usaha mereka mampu memperkukuhkan kedudukan memanah sebagai salah satu sukan utama di Malaysia.
“Dengan sasaran ini, Muezza Archery dilihat bukan sahaja sebagai peneraju pembangunan sukan memanah, tetapi juga agen perubahan dalam membentuk generasi muda yang lebih berdaya saing dan berdisiplin,” kongsinya.-UTUSAN