MPKu rekod hasil tertinggi, RM186.32 juta

MPKu rekod hasil tertinggi, RM186.32 juta

MOHD. FAHMI Salam melancarkan akhbar MPKu Perdana di Ibu pejabat MPKu, Kulai. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) merekodkan terimaan hasil tertinggi sebanyak RM186.32 juta pada tahun ini.

Yang Dipertua MPKu, Mohd. Fahmi Salam berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 31 peratus daripada anggaran sasaran sebanyak RM141.3 juta.

“Ia merupakan rekod tertinggi terimaan hasil oleh pihak MPKu berbanding hasil terimaan pada tahun lalu sebanyak RM161.9 juta. Pengiktirafan dan pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat daripada semua pihak termasuk ahli majlis, agensi kerajaan, pihak swasta, pimpinan tempatan serta masyarakat setempat,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPKu, di sini hari ini.

Mohd. Fahmi turut melancarkan akhbar MPKu Perdana dan Inisiatif Transformasi Pendigitalan Cukai Harta.

Beliau berharap hasil MPKu terus meningkatkan pada tahun depan, terutamanya setelah termeterai perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada bulan depan.

“Tahun depan pastinya menjadi tahun penting buat negeri Johor dan Kulai khususnya setelah daerah ini merupakan salah satu daripada enam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam JS-SEZ.

“Justeru, kita perlu bersedia bagi memastikan pembangunan pesat yang bakal berterusan ini diimbangi dengan aspek-aspek penting seperti kelestarian alam sekitar, penyediaan jaringan perhubungan, infrastruktur dan kemudahan awam yang baik,” katanya.

Limpahan pembangunan itu bakal disokong dengan projek utama kerajaan seperti pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan, peningkatan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Beliau berharap perancangan dalam dokumen Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kulai 2035 dapat digerakkan secara bersepadu menerusi gerak kerja yang lebih terancang.

“Inisiatif-inisiatif bagi menjadikan Kulai sebagai perbandaran pintar, hijau, bersih dan selamat kekal menjadi keutamaan bagi dijayakan secara berkesan pada 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya