Motosikal ditunggang Muhammad Zaharif dihantar untuk dibaiki

Motosikal ditunggang Muhammad Zaharif dihantar untuk dibaiki

MOHD.  Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini untuk perbicaraan kes bunuh pelajar yang dihadapinya. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemilik motosikal yang digunakan Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie sewaktu dilanggar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa kenderaan berkenaan telah dihantar untuk dibaiki sebelum kejadian pelanggaran berlaku.

Saksi pendakwaan ke-17, Muhammad Shafiq Shamsul Kamar, 26, berkata, motosikal itu dihantar adik lelakinya kepada mangsa ekoran terdapat masalah pada kenderaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai tahap kemahiran Muhammad Zaharif dalam membaiki motosikal.

“Pada malam sebelum kejadian, saya tahu motosikal tersebut tiada di rumah. Saya ada bertanya kepada emak dan dia maklumkan adik saya telah menghantar motosikal itu kepada kawannya pada malam yang sama,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding hari ke-10 kes bunuh membabitkan pegawai polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45.

Menurut juruteknik itu, motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna hitam itu dibeli sekitar tahun 2020 dan 2021 serta kerap digunakan adiknya untuk ke kedai atau kawasan berdekatan.

Kata Muhammad Shafiq, sepanjang adiknya menggunakan motosikal tersebut, dia tidak pasti sama ada remaja terbabit ada melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan berkenaan.

“Sebelum hantar untuk dibaiki, ekzos motosikal tersebut memang telah diubah suai daripada yang asal. 

“Ekzos tersebut bukan yang standard, namun miliki fizikal yang sama seperti standard. Bunyi ekzos juga tidak begitu kuat namun bukan juga seperti yang asal pada mula pembelian,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shafiq berkata, dia juga tidak mengetahui sama ada motosikal tersebut telah dibaiki sebelum pelanggaran berlaku. 

“Semasa pelanggaran tersebut, cukai jalan dan insurans motosikal tersebut telah tamat sekitar September 2023 dan belum diperbaharui,” katanya.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-18 iaitu seorang remaja lelaki memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Zaharif beberapa kali meminta untuk membawa motosikal tersebut ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati pada hari kejadian.

Katanya, Muhammad Zaharif memberitahu akan memulangkan semula motosikal berkenaan pada sebelah petang.

“Zaharif tidak memulangkan motosikal kerana dia terlibat kemalangan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Dalam pada itu, saksi terbabit berkata, dia menyerahkan motosikal kepada mangsa untuk ubah suai bahagian luar kenderaan dan memaklumkan bahagian yang perlu dibaiki ialah brek dan lampu belakang yang tidak menyala.

“Zaharif ada bertanya sama ada dia boleh menukar ekzos motosikal dan saya bersetuju. Pada malam kejadian, saya tahu dan ada melihat Zaharif melakukan penukaran ekzos yang diambil dari rakannya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya