KUALA LUMPUR: Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) menyambut baik keputusan kerajaan tidak menaikkan tarif elektrik.
Presiden MiTDA, Mahadzir Mansor berkata, keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap beban rakyat dan seterusnya mengekalkan tarif elektrik amat memberangsangkan.
Katanya, langkah ini membuktikan kerajaan peka dengan cabaran ekonomi yang dihadapi khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Bagi industri pelancongan, keputusan ini memberikan kelegaan besar menjelang persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
“Kestabilan kos elektrik akan membantu pengusaha hotel, restoran, dan pusat pelancongan menawarkan harga yang kompetitif,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak membenarkan sebarang kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan majoriti rakyat.
Mengulas lanjut, Mahadzir Mansor berkata, MiTDA yakin langkah ini menjadi permulaan positif untuk pemulihan ekonomi dan kejayaan industri pelancongan negara.
“Saya yakin langkah ini penting untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan dunia,” katanya. – UTUSAN