Miskin tegar turun 2,191 berbanding 91,789

Miskin tegar turun 2,191 berbanding 91,789

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah miskin tegar di Malaysia menurun kepada 2,191 keluarga setakat November tahun ini berbanding 91,789 keluarga yang direkodkan pada tahun lalu.

Berdasarkan data e-Kasih yang dikongsikan Kementerian Ekonomi, empat negeri merekodkan sifar miskin tegar setakat November lalu iaitu Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.

Negeri tertinggi dengan jumlah miskin tegar setakat tarikh sama adalah Kuala Lumpur iaitu sebanyak 474 keluarga, Kedah (341), Sabah (298), Johor (275), Pahang (174), Pulau Pinang (122), Selangor (112), Terengganu (103), Kelantan (99), Sarawak (91), Perak (62) dan Labuan (49).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, usaha membasmi dan menoktahkan miskin tegar merupakan satu daripada tiga keutamaan kerajaan.

Beliau berkata, usaha menoktahkan kemiskinan tegar juga telah menunjukkan kemajuan sangat memberangsangkan.

“Berdasarkan data e-Kasih sehingga 30 November lalu, empat buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Putrajaya melaporkan sifar kemiskinan. Negeri-negeri lain turut merekodkan penurunan insiden miskin tegar secara signifikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Dewan Negara yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen hari ini.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh bertanyakan strategi dan cabaran kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar secara holistik serta berterusan supaya tidak bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan.

Rafizi berkata, usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar berhadapan beberapa cabarannya tersendiri mengakibatkan ia sedikit sukar untuk dibasmi dengan kadar segera.

“Antaranya, insiden kemiskinan adalah bersifat dinamik, di mana isi rumah miskin bertukar ganti sepanjang masa.

“Tatkala ada isi rumah yang berjaya keluar dari cengkaman kemiskinan, ada pula isi rumah lain yang jatuh miskin atas pelbagai faktor seperti kematian pencari nafkah, dibuang kerja atau bencana alam.

“Selain itu, berlaku gejala “moral hazard” (risiko moral) di mana wujud segelintir isi rumah miskin yang tidak mahu berusaha kerana selesa menjadi penerima bantuan.

“Dalam kes tertentu, ada pula isi rumah yang mana ketuanya tidak lagi produktif seperti yang sakit terlantar, orang kurang upaya atau warga emas berusia lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dalam usaha membasmi kemiskinan, kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif jangka sederhana serta panjang.

“Ini termasuklah dengan meningkatkan pendapatan golongan sasar, mewujudkan peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup golongan miskin, peningkatan akses kepada sokongan sosial seperti pendidikan dan kesihatan serta perumahan bagi mengekalkan tahap kualiti hidup tertentu serta meningkatkan daya tahan dan kesejahteraan isi rumah miskin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya