IPOH: Perak FC berdepan misi sukar apabila melayani kunjungan Selangor FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Lumut malam esok.
Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd Yusri Che Lah menyedari tugas berat yang dipikul pasukan Kejor Yob Kejor namun mahu pemain fokus dalam perlawanan itu nanti.
“Kami berdepan misi sukar dalam perlawanan esok. Selangor pasukan kedua terbaik liga setakat ini.
“Mereka miliki kelebihan, memang kami hadapi tugas berat. Walaupun sukar tetapi bukan mustahil untuk kami melakar kejutan.
“Apa yang saya harapkan pemain fokus dan berusaha keras untuk mengutip kemenangan pada aksi esok,” katanya ketika dihubungi.
Bagi menghadapi perlawanan tersebut, Yusri tidak akan mendapat khidmat Kapten, Luciano Guaycochea akibat kecederaan.
Sunday Afolabi pula terpaksa disisihkan kerana penggantungan.
Selain itu, Perak menghadapi perlawanan esok selepas kekalahan 0 -1 kepada Pahang dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MP Manjung pada Jumaat lalu.
“Saya berharap semangat pemain tidak terjejas dengan kekalahan itu.
“Mereka akan bangkit bagi mengusahakan kemenangan selepas mengharung lima perlawanan tanpa kemenangan,” kata Mohd. Yusri. – UTUSAN