SEPANG: Selebriti lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja baru-baru ini disambung reman empat hari lagi bagi membantu siasatan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi hari ini.
Norhizam berkata, selebriti itu sebelum ini telah direman selama lima hari bermula 15 Disember lalu yang mana tempoh remannya sepatutnya tamat hari ini.
“Along Cham (selebriti) sambung reman empat hari (bermula hari ini). Hari ini kesnya rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses selanjutnya,” katanya.
Perintah lanjut reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Sepang, pagi tadi.
Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Telok Datok Banting sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan, selebriti itu ditahan di sebuah rumah teres di Cyberjaya pada petang 14 Disember lalu bersama dadah disyaki ganja seberat 60.3 gram.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN