LOS ANGELES: Selepas bakatnya dalam bidang lakonan diakui dunia, pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh kini bergelar penyanyi apabila membolosi carta lagu popular Amerika Syarikat, Billboard Hot 100.
Anak kelahiran Ipoh, Perak, menyanyikan salah satu lagu daripada filem Wicked bertajuk berjudul The Wizard And I bersama pelakon, Cynthia Erivo.
“Terima kasih Cynthia Erivo, Stephen Schwartz, sekarang saya seorang penyanyi,” tulisnya menerusi satu hantaran di media sosial.
Memegang watak Madam Moribble, Michelle bukan sahaja berlakon malah perlu bernyanyi sepanjang membintangi naskhah genre muzikal itu.
Bagaimanapun, penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi Oscar itu telah melakukan sehabis baik demi menjayakan naskhah itu.
“Wicked adalah cerita dunia fantasi di mana orang tiba-tiba menyanyi dan menari berbanding bercakap. Saya sangat suka genre begitu,” katanya.
Wicked merupakan naskhah fantasi popular Eropah berkenaan dua orang ahli sihir iaitu Elphaba dan Glinda. Ia merupakan karya adaptasi daripada sebuah novel yang diterbitkan pada 1900 bertajuk The Wonderful Wizard of Oz. -UTUSAN