MH370: Pencarian lokasi baharu

MH370: Pencarian lokasi baharu

ANTHONY Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan tersebut dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu.

Menurut beliau, pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat itu melibatkan satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.

“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-
pakar dan penyelidik.

Jelasnya, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370.

“Pihak Kementerian Pengangkutan sedang merunding terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity yang dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun hadapan,” katanya.

Katanya lagi, keputusan prinsip ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370.

Media pada 5 November lalu melaporkan, kerajaan masih berhasrat untuk mencari MH370 dengan melaksanakan rundingan bersama syarikat Ocean Infinity di United Kingdom yang menawarkan operasi mengesan bangkai pesawat itu melalui operasi pencarian dasar laut.

Anthony dilaporkan berkata, pertimbangan itu dibuat atas aspirasi kerajaan yang tidak akan mengabaikan bagi mencari bangkai pesawat MH370 sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.

Pada 8 Mac 2014, pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya