DALAM keadaan genting ketika banjir melanda beberapa negeri seperti di Kelantan dan Terengganu sehingga menjejaskan ribuan penduduk, yang rakyat Malaysia perlukan ketika ini adalah sistem sokongan kuat semua pihak.
Penduduk bukan sahaja hilang tenaga meranduk banjir, malah keadaannya lebih teruk menyaksikan mereka tiada tempat berteduh, hilang insan tersayang, putus punca rezeki, kerosakan struktur rumah dan dokumen-dokumen penting, malah ada yang tidak kesampaian menerima skrol di hari istimewa selepas menamatkan pengajian di universiti.
Namun, tiada siapa dapat menjangka dan melawan takdir Tuhan. Jika Tuhan berkata “jadi, maka jadilah ia.” Apa yang boleh dilakukan adalah harungi dugaan itu dengan penuh sabar dan tawaduk.
Sentiasa optimis bahawa langit tidak selalunya mendung, hari esok pasti cerah dan lebih baik.
Di sini juga kita melihat peranan besar dimainkan wakil-wakil rakyat di seluruh negara dalam membantu dan meringankan beban mereka tanggung. Boleh diperhati banyak langkah dan usaha mereka gerakkan melalui pusat khidmat komuniti merentasi sempadan kawasan jajahan masing-masing dengan menyediakan pelbagai bantuan.
Walaupun berbeza fahaman dan perjuangan parti politik, namun mereka bersatu di atas satu perkara – tanggungjawab. Dari pemimpin untuk rakyat jelata.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang antara yang mengambil pendekatan itu menghulur bantuan hasil sumbangan semua pihak dalam
Misi Bantuan Banjir DAP untuk Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dengan jumlah kutipan sumbangan tunai RM98,107.11, DAP Pulau Pinang memuatkan barangan bantuan 100 tan berupa 101 periuk nasi, 500 bantal, 500 tilam, 2204 kain linen, 1200 tuala, 9,000 biji telur dan 200,000 botol air minuman dalam tiga lori kontena bersaiz 20 kaki dan satu bersaiz 40 kaki.
Sumbangan itu dihantar ke kawasan terjejas pada 7 Disember lalu melalui kerjasama rangkaian sukarelawan tempatan dan rakan strategik DAP Pulau Pinang.
“Sejak dari awal pelancaran sehingga kini, kami menerima kutipan sumbangan memberangsangkan daripada semua pihak yang menunjukkan rakyat Malaysia bersatu padu dalam usaha membantu mereka yang terjejas,” katanya.
DAP dan Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor turut melancarkan misi bantuan bencana dengan mengumpulkan barangan keperluan termasuk lampin, tuala wanita, ubat gigi, biskut dan lain-lain.
Walaupun jauh berada di Selatan, Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin melalui Unit Tindak DAP Johor tetap bersemangat dengan misi menghantar sumbangan banjir ke Terengganu.
“Semoga sumbangan dan bantuan ini dapat memberi khabar gembira dan meringankan beban saudara senegara kita di negeri terlibat,” katanya.
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh baru-baru ini mengagihkan barangan keperluan bernilai RM100,000 dalam misi pasca banjir kepada mangsa di Terengganu dan Kelantan.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, sayap parti mempunyai 20,000 keahlian Skuad Sabil yang sentiasa aktif di lapangan sepanjang banjir berlaku.
“Cuma untuk banjir kali ini, ia tidak digerakkan secara besar-besaran kerana banjir berlaku serentak di banyak negeri, kita pecahkan skuad ini untuk setiap kawasan,” katanya. – UTUSAN