Mereka berbohong, sila jawab di akhirat - Najib

Mereka berbohong, sila jawab di akhirat – Najib

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu mana-mana pihak terlibat dalam pembohongan yang membabitkan pertuduhan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu bertanggungjawab di akhirat kelak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, musuh politik boleh gembira dan berbangga dengan ‘kemenangan sementara’ terhadap ketidakadilan yang membabitkan namanya.

Namun katanya, mereka tidak boleh menipu tuhan yang melihat segala kebenaran di sebalik pendakwaan membabitkan namanya.

“Kelak pada hari penghakiman, mereka akan bertanggungjawab dengan pembohongan, pengkhianatan dan pencabulan mereka terhadap keadilan dan undang-undang mereka.

“Tidak dapat dinafikan, di dalam kepercayaan saya, pemerintah dan mereka yang berkuasa, pemerintah negara dan hakim-hakim akan dihisab dan dipersoalkan terlebih dahulu.

“Namun saya percaya bahawa keutamaan ini bukanlah disebabkan oleh darjat-darjat ataupun darah dan keturunan mereka, kerana setiap manusia adalah sama di sisi tuhan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika memberikan keterangan membela diri peringkat pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Tan Sri Dr Mohamed Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Najib, individu yang terlibat dalam siasatan kes 1MDB telah terdesak untuk menyelamatkan diri mereka dengan membuat pembohongan demi pembohongan untuk mengaitkan dirinya.

Beliau kemudian menyebut beberapa nama antaranya adalah bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Katanya, mereka telah menukarkan fakta-fakta dengan kepalsuan dan penceritaan demi kebebasan sendiri dan untuk menutup kelemahan serta kesilapan diri.

“Namun, mereka hidup bebas tanpa sebarang tindakan undang-undang mahupun sedikit rasa penyesalan, tambahan lagi kesemua kesalahan- kesalahan dan ketidakcekapan mereka telah dengan mudah diabaikan,” katanya.

Bagi Najib, dia kini menjadi mangsa kepada sistem yang kononnya telah diperbaharui dan sepatutnya digunakan bagi menjunjung prinsip keadilan dan memerangi rasuah, namun telah gagal di dalam memenuhi janjinya.

“Sebaliknya, ia dijadikan sebagai wadah untuk melindungi pihak yang sepatutnya bertanggungan, menjaminkan mereka terlepas daripada sebarang tanggungjawab.

“Sementara saya dipastikan dan terus dipastikan untuk berdepan dengan prospek dipenjarakan selama berdekad atas pertuduhan-pertuduhan yang saya tidak lakukan, semata-mata untuk memenuhi kepentingan dan kelangsungan politik lawan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB yang memasuki hari ketujuh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya