BUTTERWORTH : Dua sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api dua hari berturut-turut pada bulan September yang lalu.
Tertuduh, Lee Ho Meng, 26, dan Heng Xavier, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan perbuatan khianat beserta niat hendak menyebabkan kebakaran dengan membuang botol berisi minyak petrol di hadapan sebuah rumah di Kampung Jawi, Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) kira-kira pukul 3.46 pagi pada 16 September lalu.
Mengikut pertuduhan kedua pula, mereka didakwa sengaja melakukan khianat dengan api beserta maksud hendak menyebabkan kemusnahan sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda serta kediaman di lokasi sama kira-kira pukul 2.20 pagi pada 15 September lalu.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun selain dikenakan denda.
Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Ruzaini Wan Abdul Razak menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 seorang bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, Benjamin Tan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar jaminan minimum diberikan kerana anak guamnya, Xavier yang berpendapatan RM2,500 sebulan sebagai chef bukan sahaja perlu menyara keluarga termasuk ibunya, malah, tertuduh juga kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan.
“Ho Meng pula masih bujang dan bekerja sebagai pengurus acara dengan pendapatan sebanyak RM2,300 sebulan. Dia juga perlu menyara ibunya yang sakit, malah, kedua-dua anak guam saya telah direman selama 54 hari (sebelum ini),” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM14,000 diberikan kepada setiap tertuduh untuk kedua-dua pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Kes dijangka disebut semula pada 8 Januari depan.-UTUSAN