Menang saman fitnah, Kon Yeow bakal terima ganti rugi RM350,000

Menang saman fitnah, Kon Yeow bakal terima ganti rugi RM350,000

CHOW KON YEOW. Gambar kecil: Tan Kok Ping
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan bahawa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow layak menerima ganti rugi sebanyak RM350,000 dan kos berjumlah RM50,000 selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan pemimpin itu terhadap ahli perniagaan, Tan Sri Tan Kok Ping.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon berkata, Kon Yeow berjaya membuktikan kes fitnahnya terhadap Kok Ping yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) berhubung isu penjualan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Beliau menjelaskan, kenyataan fitnah yang diucapkan dalam bahasa Mandarin itu melibatkan tiga perkataan yang diterjemahkan sebagai ‘tidak cekap, jahil, dan tidak tahu malu’.

Katanya, kes tersebut memenuhi ketiga-tiga elemen fitnah iaitu kenyataan yang dipersoalkan merujuk kepada Kon Yeow, kenyataan yang bersifat memfitnah serta kenyataan yang diterbitkan atau disiarkan secara terbuka.

“Defendan (Kok Ping) memberi penekanan terhadap kedudukan plaintif secara khusus sebagai Ketua Menteri dalam kenyataan (fitnah) itu.

“Plaintif adalah ketua pentadbiran awam di Pulau Pinang dan adalah penting bagi seseorang Ketua Menteri itu untuk dilihat sebagai seorang yang cekap dan bijaksana dalam menjalankan tugasnya serta mendapat penghormatan daripada rakyat Pulau Pinang.

“Oleh itu, apabila seorang tokoh berpengaruh seperti defendan menuduh plaintif tidak cekap, tidak berpengetahuan dan tidak tahu malu, tuduhan itu berpotensi merosakkan reputasi plaintif,” kata Chew Soon ketika sesi prosiding yang dibuat secara maya di aplikasi Zoom, hari ini.

Menurut Chew Soon, kenyataan yang dibuat oleh Kok Ping dalam sidang media pada tahun lepas itu adalah berkaitan perjanjian pembangunan bersama (JDA) untuk projek Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) yang bagaimanapun sudah dibatalkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan tersebut tidak memberi manfaat kepada kepentingan awam.

Terdahulu, Kon Yeow selaku plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM300,000 bagi setiap tujuh penerbitan yang menyiarkan kenyataan defendan, iaitu sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan enam akhbar berbahasa Mandarin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.1 juta.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk memberi pampasan global sebanyak RM350,000 dengan faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh penghakiman dibuat.

Pada masa yang sama, mahkamah juga tidak mengarahkan Kok Ping untuk membuat permohonan maaf berhubung perkara itu kerana defendan dilihat tidak bersedia untuk melakukannya secara ikhlas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya