Seramai 18 pelajar Malaysia dari Vocal Pizzest gabungan Sekolah Internasional Cempaka Bukit Damansara dan Sekolah Cempaka Cheras merangkul dua Anugerah emas dalam pertandingan koir sedunia Sing For Gold sempena World Choral Cup yang berlangsung di Calella dan Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini
Dalam festival dan pertandingan koir ini, yang dikenali sebagai Sing For Gold yang diadakan pada 24 hingga 28 Oktober lalu turut disertai oleh 51 kumpulan koir yang hebat mewakili 33 buah negara.
Dua emas tersebut dimenangi daripada kategori koir kanak-kanak dan kategori pop, jazz dan gospel.
Pertandingan berprestij itu dianjurkan oleh Interkultur yang merupakan penganjur terbesar dunia bagi festival dan pertandingan koir antarabangsa yang melibatkan pelajar yang berumur antara lapan hingga 14 tahun ini adalah kumpulan yang paling muda daripada Malaysia, bertanding mewakili Asia Tenggara.
Dalam kategori pertandingan koir kanak-kanak, Vocal Pizzest Malaysia menyanyikan lagu daripada lagu rakyat Malaysia dan rangkaian lagu-lagu medley dari CPAC Muzikal, Alice’s Wonderland yang di cipta oleh lokal komposer Nick Choo, pemenang BOH Cameronian Arts Awards.
Lagu-lagu rakyat diadaptasikan dengan harmoni yang indah, dilengkapi dengan alat muzik tradisi Malaysia seperti kompang. Pakaian songket dihiasi bunga dan sanggul emas untuk kanak-kanak perempuan, tanjak dan samping untuk kanak-kanak lelaki, tersergam indah berdiri megah di atas pentas.
Pemimpin koir mereka, Melinda Sik, memainkan peranan yang sangat baik dalam memberi arahan di atas pentas.
Suara kanak-kanak Malaysia ini halus dan merdu bergema di konservatori muzik Liceu Barcelona, menyanyikan lagu klasik Malaysia seperti Wau Bulan, Lenggang Kangkung, Rasa Sayang, Sayang Kinabalu dan Chan Ma Li Chan disertakan dengan koreografi tarian melayu yang sopan memukau mata yang memandang.
Dalam kategori, Pop, Jazz & Gospel, Vocal Pizzest Malaysia mempersembahkan lagu-lagu daripada Spooks ciptaan Nick Choo.
Kanak-kanak Malaysia kali ini menukar gaya yang berbeza bersesuaian dengan genre yang diperlukan dalam kategori tersebut.
Koreografi yang mantap dan nyanyian medley yang harmonis mencuri hati penonton dan juri ketika mereka menyanyikan lagu-lagu Spooks Medley.
Koir daripada negara lain yang turut mengambil bahagian iaitu dari Iran, Great Britain, Amerika Syarikat, Mexico, Korea, Zimbabwe, Peru dan negara-negara Eropah seperti Finland, Sepanyol, Itali, Jerman, Sweden, Bulgaria, Norway dan Denmark.
Sewaktu keputusan pemenang diumumkan, wakil-wakil daripada Malaysia cukup berbangga dan gembira apabila Kumpulan koir Vocal Pizzest memenangi dua Anugerah Emas bagi kedua-dua kategori. Laungan We love you Ms. Mel, menyebabkan cikgu dan ibu-bapa mereka tidak dapat menahan air-mata. Kemenangan mereka merupakan kebanggaan untuk semua rakyat Malaysia dan Sekolah Cempaka.
Ketua Pengarah CPAC, Andrew Chan memberi ucapan tahniah dengan pelajar-pelajar kerana ini adalah pertama kali pasukan Vocal Pizzest mengambil peluang bertanding dalam pertandingan antarabangsa.
Sewaktu pertandingan ini, para pelajar yang menyertai pertandingan tersebut banyak menimba ilmu dan mempelajari perkara-perkara baru.
Bukan sahaja ia membuka minda melihat gabungan etnik dan menjalin persahabatan dengan negara luar, malah mereka juga dapat menimba pengalaman serta disiplin dalam melakukan latihan yang padu, bekerja keras, dan memberikan komitmen yang sepenuhnya. Walaupun perjalanan yang jauh selama lebih 20 jam, dan keadaan hujan lebat di Barcelona,pelajar ini bertekad untuk memberikan yang terbaik.
Mereka bersyukur kerana menerima sokongan yang hebat daripada ibu-bapa dan guru-guru sehingga mereka dapat bersaing di pentas dunia. Pengalaman ini merupakan sesuatu perkara yang tidak ternilai harganya pada mereka semua. Mereka berharap semoga banyak lagi peluang emas seperti ini pada masa hadapan.
“Kejutan buat kami di atas segala pengorbanan selama ini dan bukan senang untuk memenangi pingat emas kerana saingan yang sungguh hebat, kemenangan ini amat bermakna bagi kami dan pastinya hadiah untuk semua rakyat Malaysia,” kata Mawar Mikaila Omar Mustapha penuh semangat iaitu antara peserta yang terpilih untuk menyertai “Vocal Pizzest”.
Kami rakyat Malaysia amat berbangga dengan kejayaan ini dan semoga kejayaan dua emas dari Sekolah Cempaka menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda di tanah air tercinta. – UTUSAN