MELAKA: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Negeri Melaka 2025 berjumlah RM585.7 juta pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah tersebut melibatkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM497.7 juta manakala RM88 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Kata beliau, hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM498 juta dengan pecahan anggaran hasil cukai berjumlah RM177.3 juta, hasil bukan cukai (RM279.7 juta) dan terimaan bukan hasil (RM41 juta).
“Kerajaan negeri meneruskan inisiatif belanjawan dengan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM497.7 juta iaitu bagi maksud tanggungan dianggarkan berjumlah RM15.9 juta manakala bagi maksud bekalan dengan anggaran berjumlah RM481.9 juta.
“Di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan pula peruntukan adalah RM88 juta dengan pecahan RM57.1 juta merupakan sumber hasil negeri sementara RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup atau Geran Tahap sementara RM2.5 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).
“Sementara itu, token sebanyak RM20 adalah pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Negeri Melaka.
Tambah Ab. Rauf, belanjawan bertemakan ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan’ berlandaskan tiga agenda utama yang akan dilaksanakan secara komprehensif dan inklusif.
“Agenda pertama adalah mempelbagaikan ekonomi dan pengukuhan daya saing. Agenda kedua pula mengenai kepedulian masyarakat dan transformasi modal insan berkualiti dan agenda ketiga meningkatkan kecekapan serta integriti perkhidmatan awam.
“Selain itu Belanjawan 2024 turut memberikan 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) dan satu tumpuan khusus melibatkan perkhidmatan awam,” ujarnya. – UTUSAN