PETALING JAYA: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menganjurkan Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan Asas menjelang tahun baharu pada 31 Disember ini.
Menurut Unit Korporat MEDIU, program tersebut diadakan dengan kerjasama Pusat Darah Negara, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Mahabbah Malaysia Association dan Masjid Al-Khasyi’in Desa Petaling.
“Program ini memberi peluang kepada kakitangan, pelajar dan komuniti untuk menyumbang dan menyertai program murni ini.
“Program bermula pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 3 petang. Lokasi program adalah di Dewan Utama MEDIU Desa Petaling, Blok 15, Aras 2,” katanya di sini hari ini.
Unit Korporat MEDIU berkata, penduduk sekitar dan kariah Masjid Al-Khasyi’in dialu-alukan untuk turut serta.
Katanya, program menjelang tahun baharu 2025 diadakan dengan misi untuk mewujudkan masyarakat kampus dan komuniti setempat yang sihat dan ceria.
“Mari kita bersama-sama membuat perubahan. Sumbangan darah anda amat bermakna untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Borang untuk pendaftaran derma darah dan pemeriksaan kesihatan asas boleh diisi melalui https://forms.gle/MyQNSxL1aTr2Zipc7. – UTUSAN