IPOH: Kementerian Komunikasi akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dengan penyedia media sosial TikTok berkaitan dakwaan kehilangan wang menerusi akaun e-dagang platfom berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau akan mendapatkan maklumat berkaitan perkara itu bagi mengetahui punca sebenar sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kita sedar ramai rakyat termasuk mereka yang terlibat dalam Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memanfaatkan platform seperti TikTok untuk berniaga atau jual beli.
“Kalau ada satu tren yang merisaukan seperti yang dimaklumkan, saya akan minta pihak MCMC berhubung dengan TikTok untuk kenal pasti apa masalahnya dan kita cuba fahamkan dulu sebelum saya boleh maklumkan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perak Economic Outlook 2025 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan MCMC, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan pengguna TikTok yang memberitahu wang dalam akaun jual beli e-dagang atau TikTok Shop hilang atau berkurangan daripada jumlah asal tanpa sebarang transaksi.
Rungutan yang disuarakan menerusi hantaran dan di ruangan komen itu juga memaklumkan bahawa kerugian yang dialami itu ada yang mencecah sehingga ratusan ribu ringgit. – UTUSAN