MCMC, DPCH jalin kerjasama pacu Ipoh bandar pintar - Utusan Malaysia

MCMC, DPCH jalin kerjasama pacu Ipoh bandar pintar

FAHMI Fadzil berucap pada Majlis Perak Economic Outlook 2025 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk pelaksanaan program bandar pintar di Bandaraya Ipoh.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pertukaran MoU antara dua pihak itu bukan sahaja memudahkan pelaksanaan program bandar pintar di Ipoh malah menjadi permulaan positif kepada usaha pemerkasaan bandar pintar yang bakal memberi manfaat kepada penduduk.

“Kerjasama strategik ini bermatlamat untuk memperkukuhkan kerjasama antara MCMC dan DPCH dalam meningkatkan infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.

“Di bawah MoU ini, liputan internet di Perak akan ditambah baik bagi menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perak Economic Outlook 2025 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan MCMC, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

Pada majlis itu, pertukaran MoU telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan MCMC, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dengan disaksikan Saarani.

Menurut Fahmi, selain menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH berkaitan dengan infrastruktur digital, MCMC juga berperanan memberi perkhidmatan sama berkaitan jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

Beliau berkata, turut dilaksanakan di bawah MoU itu adalah penerokaan kerjasama berkaitan dengan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak yang menyasarkan penglibatan komuniti setempat.

“Inisiatif-inisiatif ini adalah perlu bagi menjadikan Bandaraya Ipoh bukan sahaja efisyen dan inovatif, bahkan lestari.

“Malah, kerjasama antara MCMC dan DPCH ini membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif adalah langkah terbaik untuk memacu inisiatif berkenaan.

“Insya-Allah, kerjasama strategik ini akan membantu DPCH mencapai sasaran menjadikan Ipoh sebagai bandar pintar. Semoga pelaksanaan bandar pintar ini menjadi perintis era baharu kepada Ipoh agar setanding dengan bandar pintar lain di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya