PETALING JAYA: Ketika ramai artis senior menafikan wujud budaya buli dalam kalangan penggiat seni, pelakon, Rozita Che Wan bagaimanapun mendedahkan pengalamannya pernah berdepan situasi itu beberapa tahun lalu.
Menurut Rozita atau Che Ta, dia pernah menerima layanan buruk oleh artis ternama di sebuah set drama selain dipaksa bekerja walaupun disahkan sakit oleh doktor.
“Semasa berlakon untuk drama ketiga, dalam set itu semuanya artis nama besar. Cuma saya yang masih baru namun tersenarai dalam kalangan watak utama. Ketika itu saya jatuh tangga dan kaki sudah bengkak, doktor pula sudah beri saya sijil cuti sakit.
“Bila sampai set, saya berikan sijil itu kepada produksi. Mereka koyakkan sijil itu dan suruh saya bekerja juga. Adik lelaki saya yang dukung sebab tidak boleh berjalan. Saya pula hanya boleh buat adegan berdiri atau duduk sahaja.
“Masa tengah rehat, artis senior yang ada nama besar perli saya. Mereka kata saya hanya muka cantik sahaja tapi tidak boleh diharap jadi pelakon.
“Ada satu adegan dalam drama di mana babak saya dipukul. Mereka pukul saya betul-betul hingga kepada saya terhantuk. Mereka terus ‘pukul’ sampaikan jurukamera minta berhenti sebab terlalu teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walau bagaimanapun, apabila nama Rozita semakin dikenali, pelakon sama yang menyindirkan tiba-tiba melayannya baik dan memanggilnya dengan gelaran ‘darling’.
Bukan itu sahaja, penerima anugerah 100 CEO Muda Terbaik, Ikon Malaysia itu juga tidak menafikan wujud layanan dua darjat di set penggambaran terutama dalam kalangan pendatang baru.
“Saya juga pernah nampak artis baru yang tiada nama kena marah dan juru solek tonyoh muka mereka. Lebih-lebih lagi pelakon tambahan. Mereka tidak boleh masuk bilik. Mereka kena duduk di luar.
“Pada saya, tidak kiralah anda artis atau tidak, kita semua manusia yang tiada beza. Bagi saya, itu sebahagian daripada buli. Mereka yang menafikan perkara itu mungkin tidak pernah hadapi situasi ini atau beranggapan ia bukan buli.
“Ini semua pengalaman saya yang bermula sebagai seorang model, tiada nama. Lainlah jika anda anak orang terkenal, siapa yang berani buli anda,” tambahnya. -UTUSAN