BUKIT MERTAJAM : Kadar caj tempat letak kenderaan di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan dinaikkan sebanyak 50 peratus mulai 1 Januari depan.
Kadar baharu itu menyaksikan caj parkir meningkat dari RM0.40 kepada RM0.80 untuk sejam, RM3.00 kepada RM6.00 untuk sehari dan RM75 kepada RM150 untuk sebulan.
Selain itu, kadar caj melibatkan tempoh penggunaan singkat turut diperkenalkan iaitu RM0.40 bagi tempoh parkir selama 30 minit manakala sewaan petak khas masih kekal mengikut kadar sedia ada iaitu RM200 sebulan.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, kenaikan kadar terbabit diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan termasuk kerja-kerja pertukaran bateri pengesan (sensor) tempat letak kereta di seluruh Seberang Perai.
“Secara keseluruhannya, terdapat 24,000 tempat letak kereta ketika ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 22,000 tapak mempunyai pengesan, manakala selebihnya dipantau menggunakan peranti kamera.
“Bateri pengesan pula perlu ditukar setiap empat tahun dan kita memerlukan kira-kira RM3 juta untuk menukar kesemua bateri terbabit. Jadi, kenaikan (caj parkir) adalah relevan memandangkan ia telah digunakan hampir 30 tahun lalu dan tiada penilaian dilakukan sepanjang tempoh terbabit,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata, sehingga kini, MBSP telah mengutip lebih RM9 juta bayaran parkir.
Bulan lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengumumkan kenaikan kadar caj tempat letak kereta sehingga 50 peratus mulai Mac, tahun depan menggunakan sistem digital sepenuhnya menerusi aplikasi Penang Smart Parking (PSP) yang dilancarkan kira-kira lima tahun yang lalu. – UTUSAN