MBI tetap pindahkan lokasi peniaga kecil

MBI tetap pindahkan lokasi peniaga kecil

SUASANA pengunjung di kawasan perniagaan but kereta di Dataran MBI di Ipoh, Perak - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tetap dengan keputusan memindahkan 44 peniaga kecil yang menjual makanan secara ‘but kereta’ di hadapan Bangunan MBI di sini ke lokasi lain iaitu di MBI Terrace.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini kerana pihaknya menerima lebih 30 aduan berkaitan aktiviti jualan but kereta itu termasuk berkaitan kesesakan lalu lintas di situ.

Katanya, begitu pun MBI hanya memberikan amaran lisan dan menangguhkan tindakan penguatkuasaan demi memberi peluang kepada penjaja mencari rezeki.

Namun, jelasnya, keadaan menjadi semakin tidak terkawal menyebabkan tindakan segera perlu diambil.

“Pengurusan MBI yang telah tiga kali bermesyuarat memutuskan untuk menempatkan semula penjaja-penjaja di hadapan Dataran MBI ke MBI Terrace.

“Kawasan tersebut paling sesuai selain untuk mengelakkan pelbagai masalah dan tohmahan yang dilemparkan kepada MBI dalam menangani isu lambakan peniaga tanpa lesen di depan mata MBI sendiri.

“Keputusan menempatkan semula peniaga-peniaga asal ke MBI Terrace merupakan langkah penyelesaian terbaik ketika ini dan mereka juga akan dilesenkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, pihak MBI juga mengambil maklum mengenai tambahan 36 peniaga yang akan diterima sebagai senarai nama simpanan untuk mengisi kekosongan jika ada dalam kalangan 44 peniaga itu menolak tawaran.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kumpulan peniaga kecil di Dataran Ipoh di sini merayu supaya tapak mereka berniaga ketika ini dikekalkan dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti yang diarahkan MBI.

Mereka terdiri daripada peniaga yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan terutama makanan dan minuman yang tular di lot parkir yang dijadikan sebagai tapak perniagaan.

Mereka diarahkan supaya berpindah ke lokasi baharu selewat-lewatnya sebelum 21 Disember ini.

Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias, 30, berkata, lokasi perniagaan baharu iaitu di MBI Terrace, tidak jauh dari lokasi sedia ada, disifatkan tidak strategik dan akan menjejaskan perniagaan mereka.

Menurutnya, kawasan perniagaan baharu itu mempunyai jalan sehala yang akan menyukarkan pengunjung berbanding lokasi sekarang ini yang mempunyai laluan dua hala dan lebih terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya