ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan diyakini tidak berdepan sebarang masalah untuk terus membantu negeri-negeri pembangkang termasuk Kedah yang sekali lagi dilanda banjir tahun ini.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berpendapat, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seeloknya lebih beradab sepanjang masa berbanding membangkitkan permohonan maafnya ketika meminta bantuan.
Katanya, agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas yang baik dalam mengendalikan impak bencana itu di Kedah.
“Saya fikir Kerajaan Persekutuan tiada masalah membantu malah sudah pun melaksanakan tugas yang baik melalui agensi-agensi bertanggungjawab. Cumanya bila orang nak tolong, kita janganlah sombong sangat.
“Cakaplah elok-elok sikit. Saya tak nampak mengapa Kerajaan Persekutuan tak boleh tolong tetapi Menteri Besar Kedah beradablah sikit kerana kadang-kadang beliau nampak sombong sangat.
“Kalau cakap elok-elok, ramai orang nak tolong tetapi sebelum ini, nampak nak ‘bantai’ saja. Dalam bahasa lain, jangan ‘koyak’ sangatlah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbang bantuan kepada kerajaan negeri selepas Kedah sekali lagi berdepan banjir yang memusnahkan pelbagai infrastruktur.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau merasakan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dengan Kerajaan Persekutuan malah telah berkali-kali memohon maaf sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, Barisan Nasional (BN) Kedah akan mengadakan konvensyen pada 14 Disember ini dalam usaha memperkukuh kerjasama antara parti komponen di negeri ini.
Katanya, konvensyen di Sungai Petani itu akan dirasmikan oleh Ahmad Zahid dan dihadiri kira-kira 800 pemimpin pelbagai peringkat daripada UMNO, MCA dan MIC. – UTUSAN