ALOR SETAR: Jasad seorang lelaki yang lemas di Sungai Tajar, Kampung Gelam di sini petang semalam akhirnya ditemukan selepas 19 jam dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, mayat Mohamad Fauzi Omar, 33, ditemukan separa terapung kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir pada pukul 2.50 petang tadi.
“Jasad mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 3.05 petang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kejadian menimpa mangsa yang dilaporkan lemas ketika berenang di sungai tersebut kira-kira pukul 5 petang semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya, Wan Saifulnizam Wan Ahmad Shukri, 36, dan Mohd. Faiz Md. Radzi, 38, sedang memukat ikan di sungai terbabit.
Sementara itu, Wan Saifulnizam yang juga rakan karib mangsa berkata, walaupun terlampau sedih dia bersyukur kerana jasad Mohamad Fauzi berjaya ditemukan.
“Memang sedih apabila melihat jasadnya dibawa ke tebing oleh pasukan penyelamat. Kami sudah kenal lama malah saya turut mengenali ahli keluarganya.
“Sebelum kejadian, tiga kali Mohamad Fauzi berkata yang dia ‘mahu balik’. Saya tak tahu maksudnya tetapi sudahnya, ini yang berlaku,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang juga pekerja kilang sudah mendirikan rumah tangga, namun belum dikurniakan cahaya mata.– UTUSAN