SEREMBAN: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung dalam sebuah kolam terbiar di Dataran Seremban berdekatan sebuah hotel di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, di sini hari ini.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Nafi Wahid berkata, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.22 pagi dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 11.26 pagi, didapati terdapat satu mayat lelaki berpakaian lengkap terapung di tengah kolam tersebut.
“Mangsa berjaya dikeluarkan daripada kolam tersebut menggunakan tali, bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nafi, mayat seterusnya diserahkan kepada pihak forensik polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan penemuan mayat tersebut yang dijumpai tanpa pengenalan diri.
“Pemeriksaan Pegawai Penyiasat pada tubuh badan mangsa telah menggelembung dan berair.
“Pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) mengesahkan kematian mangsa dianggarkan lebih dari 24 jam,” katanya hari ini.
Beliau berkata, setakat ini siasatan kes tidak menjurus kepada unsur jenayah sehingga bedah siasat selesai dilakukan.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 06-6033222.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan keadaan terkini kolam terbiar yang terletak di tengah-tengah bandar Seremban itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar memberitahu, sehingga kini tiada sebarang perancangan dibuat pihak syarikat bagi memulihkan kolam terbiar itu. – UTUSAN