PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan kes mayat bayi lelaki ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bayaran bil rawatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun, kertas siasatan belum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Kita masih menunggu beberapa laporan dan dokumen daripada pihak hospital. Ia membabitkan laporan berkaitan kematian bayi terbabit serta rekod penyimpanan mayat bayi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan seramai 14 individu dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Hussien dilaporkan berkata, kesemua saksi yang diambil keterangan membabitkan ibu bapa bayi terbabit, doktor dan petugas hospital tersebut.
Beliau dilapor berkata, pihaknya juga turut merakam keterangan sukarelawan yang menguruskan jenazah bayi itu selain saksi-saksi awam.
13 Disember lalu, polis mengesahkan satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit dan ia diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Sebelum ini tular di media sosial seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna dan didakwa dihina oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta.
Menurut satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur.
Wan Cai mendedahkan, bayi berkenaan disimpan selama dua minggu di dalam peti beku, selain ibu bayi ditahan oleh pihak hospital kerana tidak membayar kos rawatan di situ.
Beliau mempersoalkan motif pihak hospital menahan ibu bersama jasad bayi dan mempertikaikan sifat perimanusiaan doktor di hospital terbabit. – UTUSAN