Mayat bayi 16 hari: MAIS, LZS tiada terima aduan

Mayat bayi 16 hari: MAIS, LZS tiada terima aduan

Bayi
ABDUL Aziz Mohd. Yusof melepaskan Konvoi Bantuan Banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah itu dekat pekarangan Bangunan MAIS, di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSA / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tiada menerima sebarang aduan mengenai isu mayat seorang bayi lelaki yang didakwa dibekukan lebih dua minggu oleh sebuah hospital swasta di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya menerusi agensi terlibat terutama Lembaga Zakat Selangor (LZS) sehingga kini tidak menerima aduan mengenai perkara itu.

“Sehingga ke masa ini, tiada individu yang datang mengadu untuk memohon bantuan (isu itu) sama ada LZS atau dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE). Jadi, kita langsung tidak mengetahui maklumat lanjut mengenai siapa nama ibu bapa dan bayi tersebut,” katanya selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar meminta kerjasama semua mufti negeri mengeluarkan pandangan umum bagi sebarang isu melibatkan hukum.

Perkara itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat termasuk berkaitan hukum syarak menyimpan dan membekukan mayat.

Terdahulu, tular kisah mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.

Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.

Mengulas lanjut, kata Abdul Aziz, LZS bagaimanapun sedang berusaha mengesan individu itu biarpun hanya mengetahuinya daripada media.

“Setiap negeri mempunyai pusat zakat masing-masing dan umat Islam boleh tampil membuat aduan sekiranya berdepan kesusahan. Secara kebiasaannya, golongan itu terutama asnaf akan sedaya upaya dibantu selepas menerima semua butiran lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan semua pihak boleh merujuk kepada agensi berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya