Matrix Concepts tekad bangunkan Bandar Hijau berasaskan prinsip ESG - Utusan Malaysia

Matrix Concepts tekad bangunkan Bandar Hijau berasaskan prinsip ESG

BERPEGANG prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), Matrix Concepts menggunakan enzim daripada sisa makanan untuk merawat tasik di Carnelian Park, Merchant Square, Bandar Sri Sendayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Matrix Concepts Holdings Berhad terus membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan mampan dengan menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam projek berskala besar, Malaysia Vision Valley (MVV City).

Projek ini bukan sekadar pembinaan sebuah bandar moden tetapi juga menjadi simbol usaha negara dalam mencapai sasaran sifar pelepasan gas rumah kaca menjelang tahun 2050.

Matrix Concepts percaya bahawa pembangunan bandar yang harmoni memerlukan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, penjagaan alam sekitar, dan kebajikan masyarakat.

Di bawah prinsip ESG, pelbagai langkah diambil untuk memastikan projek ini membawa manfaat kepada semua pihak sambil meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Antara langkah yang dilakukan adalah menggunakan enzim daripada sisa makanan untuk merawat tasik.

Langkah ini bukan sahaja berjaya memperbaiki kualiti air, malah menarik burung migrasi ke kawasan tersebut, menjadikannya lebih kaya dengan biodiversiti.

Tenaga solar turut memainkan peranan besar dalam pengurangan jejak karbon projek ini. Ia digunakan secara meluas di bangunan-bangunan syarikat, bersama dengan pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan pelaksanaan sistem tanpa kertas.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk melindungi sumber semula jadi dan mengurangkan kesan perubahan iklim.
Dalam aspek sosial pula, Matrix Concepts tidak ketinggalan dalam memainkan peranan aktif membantu komuniti setempat.

Pada tahun 2023, syarikat ini berjaya melaksanakan 20 projek kebajikan, termasuk bantuan kepada mangsa banjir serta kempen perlindungan Covid-19 pada 2021.

Pelbagai sambutan perayaan seperti hari raya, Tahun Baharu Cina, Krismas, dan Deepavali turut dianjurkan untuk menyemarakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Selain itu, sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan telah berjaya menanam semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, manakala aktiviti sukan diperkenalkan untuk merapatkan hubungan belia dan komuniti.

Matrix Concepts turut memfokuskan aspek pendidikan dengan membiayai pembinaan sekolah komuniti dan dewan awam, memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Komitmen ini mencerminkan tekad syarikat untuk terus menyokong keharmonian sosial dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Dari segi tadbir urus, Matrix Concepts berpegang teguh pada prinsip ketelusan dan kesaksamaan gender.

Anugerah “Empat Kecemerlangan” (FTSE4Good) yang diterima daripada Bursa Malaysia menjadi pengiktirafan terhadap pencapaian syarikat dalam tadbir urus yang bertanggungjawab dan beretika.

Matrix Concepts tidak melihat ESG sebagai sekadar dasar, tetapi sebagai asas untuk mencipta perubahan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Projek MVV City diharap menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat lain dalam industri pembangunan mampan.

Dengan usaha yang berterusan, Matrix Concepts yakin dapat menjadi pemangkin dalam mencipta bandar hijau yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN