IPOH: Murid Orang Asli di Kampung Sungai Tonggang Ulu Kinta di sini tidak perlu lagi berkumpul di kaki bukit kerana mahu mendapatkan liputan internet.
Hal demikian ditangani menerusi pembinaan menara telekomunikasi baharu dalam kampung tersebut yang berjaya menguatkan liputan Internet yang sekian lama bermasalah.
Tok Batin Kampung Sungai Tonggang, Che Wan Bin Alang berkata, pihaknya gembira dengan perkembangan tersebut terutama sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke kampung tersebut pada Ogos 2023.
“Sangat membantu kami di dalam bidang pendidikan dan perhubungan. Sekarang kami tiada lagi anak-anak yang berlonggok di bawah pokok dan di tepi bukit semata-mata untuk mencari liputan,” katanya ketika berucap semasa lawatan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ke kampung tersebut di sini hari ini.
Semasa lawatan pada tahun lalu, Anwar mengarahkan pemasangan peranti Starlink yang dibangunkan oleh bilionair terkemuka Amerika Syarikat, Elon Musk sebagai penyelesaian sementara terhadap masalah internet di kampung tersebut.
Dalam pada itu, kehadiran Fahmi ke kampung tersebut juga adalah sebagai meraikan kejayaan pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Sungai Tonggang yang telah beroperasi sejak Oktober 2024.
Dalam ucapannya, Menteri Komunikasi itu turut menasihati ibu bapa agar memantau penggunaan Internet anak-anak selain meminta kanak-kanak berusia bawah 13 tahun tidak menggunakan media sosial.
Fahmi mengharapkan peningkatan taraf Internet di Kampung Sungai Tonggang itu benar-benar digunakan untuk memperbaiki taraf hidup dan ekonomi penduduk.
“Saya dapat tahu di setengah tempat yang internetnya baik, penduduk boleh berniaga dalam pelbagai platform sehingga mencipta pendapatan yang baik.
“Ada usahawan yang menjual manik untuk dijadikan hadiah. Setiap bulan pendapatannya RM25,000. Lagi tinggi daripada gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya. – UTUSAN