PASIR GUDANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan dan menyita produk kayu dari China seberat 5,913 kilogram dianggarkan bernilai RM75,000 di Pelabuhan Pasir Gudang, Selasa lalu.
Menurut Pengarah MAQIS Negeri Johor, Edie Putra Md Yusof, kesemua produk tersebut diimport dari China melalui pelabuhan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS pada 4 petang, menemukan produk kayu iaitu Wooden Frame Wheat Straw cuba dibawa masuk
tanpa permit import MAQIS.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk kayu tersebut juga tidak menjalani sebarang rawatan seperti mana yang telah ditetapkan dalam syarat pengimportan.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan
Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Edie Putra, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
“Pihak MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam negara bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya. – UTUSAN