KUALA LUMPUR 19 Dis. – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan meneruskan usaha murni dalam tempoh pasca banjir menerusi program Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah bagi negeri-negeri yang dilanda musibah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr. Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, empat hari lalu pihaknya turun ke lapangan menyampaikan bantuan dan bergotong-royong membersihkan Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda, baru-baru ini.
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar turut hadir bersama-sama ketua dan wakil 14 agensi untuk berganding bahu dengan petugas, penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO).
“MAPIM Mobile Kitchen turut memainkan peranan penting dengan menyediakan makanan panas kepada petugas dan penduduk sekitar yang memerlukan selain itu saringan perubatan percuma oleh MAIWP MAPIM Double Decker Mobile Clinic juga diadakan.
“Bantuan kemanusiaan merupakan kotak makanan asas juga disampaikan kepada penduduk di mukim Derang yang terjejas dab berharap ia dapat meringankan beban penduduk setempat,” ujarnya di sini.
Jelajah Peduli Ummah ini dianjurkan oleh MAPIM Malaysia bersama rakan strategiknya Zus Coffee dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), serta mendapat sokongan penuh daripada JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia.
Mengulas lanjut Sany Araby berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat turun padang bersama rakan strategik dan masyarakat setempat dalam usaha pembersihan pasca banjir itu.
“Kami berharap usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas dan membantu memulihkan semangat penduduk Derang untuk bangkit dan melangkah ke hadapan,” katanya.
Menurutnya, ekoran daripada kerjasama erat daripada beberapa NGO justeru program Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah akan ke negeri-negeri Pantai Timur pula selepas ini. – UTUSAN