PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan pemegang sahamnya termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) digesa memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di ATM yang dilihat membebankan pelanggan, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berkata, majoriti pelanggan terkesan dengan fi tersebut adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah, termasuk sejumlah besar ahli kesatuan yang sedang bergelut memenuhi keperluan keluarga mereka.
Katanya, fi itu membebankan keluarga berpendapatan rendah yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Mengenakan fi ini terhadap individu yang kerap menggunakan ATM di luar rangkaian perbankan mereka bukan saja tidak adil, malah menyukarkan lagi cabaran kewangan dihadapi.
“Ramai pelanggan ini perlu membuat pengeluaran dalam kesibukan menyelesaikan tugas lain, dan kos tambahan RM1 bagi setiap transaksi tanpa disedari akan semakin bertambah dengan pantas. Ini mampu terus menjejaskan sumber mereka yang sudah sedia terhad,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan memberi pengecualian caj bagi sistem Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS tanpa dikenakan bayaran RM1 pada 6 April 2020.
Namun, pengecualian itu ditamatkan dan fi tersebut dikembalikan oleh pihak bank pada 1 Februari 2022 sehingga kini.
Mengulas lanjut, NUBE berkata, pemansuhan fi itu merupakan tanggungjawab moral PayNet dan pemegang sahamnya kepada pelanggan dalam kumpulan berpendapatan rendah.
“NUBE menyeru PayNet dan bank mencari penyelesaian alternatif yang dapat meredakan beban kewangan terhadap keluarga berpendapatan rendah,” katanya. – UTUSAN