PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesedihan atas pemergian bekas Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yang disifatkan sebagai seorang sahabat sejati dan tokoh reformasi ekonomi bertaraf dunia.
Perdana Menteri berkata, Dr. Manmohan merupakan arkitek kepada reformasi ekonomi India yang telah melonjakkan negara itu sebagai salah satu kuasa ekonomi global.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau merupakan pemacu utama kebangkitan ekonomi India. Saya berpeluang menyaksikan sendiri tahun-tahun awal dasar transformasi ini ketika kami sama-sama berkhidmat sebagai menteri kewangan pada tahun 1990-an,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, mereka turut berkongsi komitmen yang sama dalam memerangi rasuah dan pernah bekerjasama membongkar kes rasuah yang besar ketika itu.
Kata beliau, segala pujian yang diberikan kepada Dr. Manmohan selepas pemergiannya adalah amat berhak dan selayaknya diterima.
“Sebagai seorang ahli politik, beliau mungkin kelihatan sedikit kekok tetapi sebagai seorang negarawan, beliau adalah individu yang jujur, teguh dan berwawasan.
“Legasi yang ditinggalkannya pasti akan terus menginspirasi generasi akan datang,” katanya.
Anwar turut berkongsi sisi peribadi Dr. Manmohan yang tidak diketahui ramai khususnya semasa beliau menghadapi tempoh sukar ketika dipenjarakan.
“Sewaktu saya dipenjara, beliau menunjukkan kebaikan hati yang luar biasa. Ia sesuatu yang tidak perlu dilakukannya, tidak memberi keuntungan politik dan mungkin juga tidak dihargai oleh kerajaan Malaysia ketika itu.
“Namun, kerana sifat peribadinya yang luhur, beliau tetap melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, Dr. Manmohan juga telah menawarkan biasiswa kepada anak-anaknya terutama anak lelaki beliau, iaitu Ihsan, sebagai tanda sokongan.
“Walaupun saya menolak tawaran itu dengan penuh hormat, saya amat mengagumi ketulusan dan kemurahan hati beliau. Sikap ini mencerminkan kemanusiaan yang mendalam dan kebaikan hati luar biasa,” jelasnya.
Anwar juga menyifatkan Dr. Manmohan sebagai seorang insan yang penuh dengan sifat belas kasihan sejajar dengan ungkapan Shakespeare, ‘the milk of human kindness.’
Beliau turut mengenang bagaimana Dr. Manmohan berdiri teguh di sisinya sebagai sahabat sejati ketika beliau melalui hari-hari sukar di penjara.
“Tindakan mulia dan penuh keikhlasan seperti inilah yang membentuk keperibadiannya. Ia akan sentiasa tersemat di hati saya selama-lamanya.
“Selamat tinggal mitra dan saudara saya, Manmohan,” tambahnya. – UTUSAN