SEPANG: Kumpulan sindiket jenayah pemerdagangan manusia bukan sahaja bertindak kejam ke atas mangsa, malah keluarganya di tanah air diugut agar menarik balik laporan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, samseng diupah turut mengepung kediaman keluarga mangsa kerana bimbang rahsia jenayah sindiket tersebut terbongkar.
Beliau berkata, kes baharu yang diselamatkan kali ini menunjukkan sindiket itu di Kemboja ada hubungan rapat dengan kumpulan mereka di Malaysia.
Katanya, mangsa lelaki berusia 20 tahun berasal dari Johor sebelum itu hanya bekerja di kedai runcit tetapi terpedaya ajakan rakan tawaran kerja dengan gaji besar di Singapura.
“Mangsa inidihantar ke Sihanoukville, Kemboja lebih tiga minggu lalu sebelum dikurung kerana didapati tidak mahir menggunakan komputer.
“Malangnya, dia dipukul teruk sekumpulan 11 lelaki sehingga luka jahitan apendiks di abdomen dirinya turut pecah selain seluruh tubuh badannya berdarah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut kepulangan mangsa diselamatkan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, mangsa berjaya menghubungi keluarga yang kemudian meminta bantuan MHO sebelum bertindak nekad terjun dari tingkat satu bangunan sindiket untuk melarikan diri.
“Dia sempat menelefon aktivis kami, Azirul Syafiq Sazali yang segera hantar kereta ke lokasi mangsa meloloskan diri dan dibawa ke ibu kota Phnom Penh,” katanya.
MHO jelasnya, turut berterima kasih kepada rakan strategik mereka, Global Anti-Scam Organization (GASO) dalam misi menyelamatkan mangsa sebelum pulang ke tanah air selain menyediakan tempat persembunyian penginapan sementara dan membantu proses dokumentasi perjalanan di Kedutaan Besar Malaysia.
“Kes ini juga mendedahkan modus operandi terbaharu sindiket iaitu mangsa diberitahu konon perlu hadir temuduga di Singapura untuk peluang kerjaya di negara itu,” katanya. – UTUSAN