DUNGUN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi khidmat kaunseling kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tujuh individu di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka, semalam.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mendapatkan maklumat terperinci untuk mengenal pasti keluarga mangsa daripada pihak berkuasa.
“Insya-Allah, JKM akan turun melihat bentuk bantuan yang kementerian boleh berikan terutama dari segi kaunseling kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi itu.
“Kita ada kaunselor yang akan mendampingi mangsa yang terselamat dan waris terlibat. Kita faham kesukaran yang mereka lalui (kehilangan ahli keluarga),” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Wanita UMNO Cawangan Dungun di Bukit Besi, di sini hari ini.
Noraini berkata, pihaknya berdukacita dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat dengan insiden yang melibatkan lima buah kenderaan termasuk sebuah bas persiaran, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, tujuh mangsa yang terkorban ialah pemandu MPV Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama penumpang Fadzlenna Ramli, Ramli Ab Wahab, 66, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, dan Fauziah Jaafar,69.
Pemandu bas, Noorisnien Khamid,56, dan penumpang, warga Singapura yang bernama Lamrah Asid Ali, 66, juga maut dalam kemalangan itu. – UTUSAN