KLUANG: Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandungnya, sudah pulih namun masih trauma dengan kejadian menimpanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, hasil pertemuan beliau dengan murid tahun empat itu mendapati, mangsa masih dalam ketakutan.
“Pada masa ini, kanak-kanak tersebut dalam jagaan bapa saudaranya (abang ibu mangsa) di Taman Kurnia, sementara menunggu keputusan hak penjagaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mangsa anak sulung daripada tiga adik beradik dan dua adiknya kini tinggal bersama ayah mereka di Kampung Tengah, Kluang,” katanya selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menzirahi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu di Taman Kurnia di sini petang semalam.
Menurut beliau, pihaknya telah merangka beberapa tindakan susulan untuk membantu kanak-kanak itu termasuk memberikan khidmat nasihat kaunseling yang akan diselia oleh pihak JKM.
Pada 3 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita berusia 32 tahun ditahan polis selepas menerima laporan seorang kanak-kanak perempuan didera daripada Guru Besar sebuah sekolah rendah di Kluang pada 28 November lalu.
Melalui laporan, mangsa dipercayai telah disimbah air panas sehingga melecur teruk di bahagian belakang badan.
Pengadu juga memaklumkan telah membuat pemeriksaan lanjut di tubuh badan mangsa dan mendapati kesan lebam di kaki kanan, kesan lecuran di kaki kiri dan kesan lebam akibat ditumbuk di pipi kiri. – UTUSAN