TAMPIN: Walaupun rumahnya dinaiki air hampir satu meter, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rokan di Gemencheh di sini tetap menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu dengan lengkap pakaian seragam sekolah.
Pelajar berkenaan, Anis Sakinah Mazalan, 17, berkata, pakaian sekolahnya dapat dibersihkan semula dan dapat digunakan pada hari ini walaupun turut terjejas akibat banjir tersebut namun tiada satu pun buku pelajarannya dapat diselamatkan.
“Ketika kejadian banjir itu, saya bersama keluarga menghantar abang kedua menyambung pelajaran di Johor. Kami pergi pada hari Khamis, memang masa itu sudah mula hujan.
“Tidak sangka pula banjir kali ini teruk hingga banyak barang rosak terendam termasuk buku-buku pelajaran semuanya habis hancur, mujur pakaian seragam sekolah masih boleh diselamatkan lagi dan dibasuh untuk dipakai hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, SMK Bukit Rokan merupakan antara dua buah sekolah yang terjejas banjir di Parlimen itu.
“Kedua-dua sekolah yang terjejas adalah di penempatan yang sama iaitu Felda Bukit Rokan. Sekolah ini juga menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kejadian banjir Jumaat lalu.
“Pihak sekolah mempunyai pelan kontigensi untuk persediaan calon SPM dengan memindahkan kelas ke tingkat atas buat sementara waktu ini bagi kerja-kerja gotong-royong pasca banjir di sekolah berkenaan.
“Saya harap kesemua calon SPM akan tabah dan cekal menghadapi ujian banjir ini agar tidak mengganggu peperiksaan,” katanya. – UTUSAN