Man Bai enggan terlibat Gegar Vaganza, dakwa program malukan artis - Utusan Malaysia

Man Bai enggan terlibat Gegar Vaganza, dakwa program malukan artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Man Bai, tidak mahu terlibat dengan program nyanyian Gegar Vaganza (GV) walaupun pernah ditawarkan menjadi penyanyi jemputan, baru-baru ini.

Jelas Man Bai atau Abdul Rahman Osman, 57, dia enggan memberikan sokongan terhadap program yang didakwa memiliki format pertandingan memalukan artis bertanding.

“Baru-baru ini mereka (GV) ada hubungi saya untuk segmen lagu duet, saya tidak ambil tawaran itu kerana rasa  program itu malukan artis. Kenapa mahu merendahkan artis?

“Kita tengok contohnya penyanyi Inka Christie yang sudah menang pelbagai anugerah termasuk di Asia Pasifik. Tidak logik bagaimana dia boleh tersingkir.

“Di Indonesia mereka ada 230 juta penonton, tiada siapa yang tidak kenal Inka Christie. Maksud saya jangan main permainan begini, saya tidak suka.

“Kita kalau mahu cari bakat, biar cara yang betul,” katanya.

Man Bai ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, semalam.

Bukan itu sahaja, penyanyi Kau Ilhamku itu juga turut mempertikaikan kredibiliti Datuk Ramli M.S sebagai ketua juri apabila tidak menobatkan penyanyi Liza Aziz sebagai peserta terbaik semasa konsert minggu keempat.

“Bukan itu sahaja, Ronnie Hussein menang minggu lalu kerana Ramli kata sudah selalu beri kemenangan kepada Liza Aziz.

“Kalau betul Liza Aziz layak menang, mengapa takut berikan (kemenangan) kepadanya? Bagaimana dengan usaha yang dilakukan Liza sebelum ini sampai beri tempat nombor tiga? Bagaimana anda jadi ketua juri?

“Kalau dalam hati anda betul-betul seorang juri dan mahu beri kemenangan kepada yang layak, beri sahajalah. Tiada orang boleh nyanyi dengan tone suara turun naik lagu Sambaria seperti Liza Aziz dan penyanyi asalnya, Fairuz Hussein,” jelasnya.

Melihat kepada prestasi penyanyi minggu lalu, Man Bai merasakan Liza wajar memperoleh kemenangan dalam program ini kerana telah memberikan persembahan dengan standard antarabangsa.

“Sebagai otai, tengok sahaja pun sudah tahu bahawa Liza Aziz, berilah lagu apapun itu semua ‘kacang goreng’. Kalau dia kalah GV, saya fikir juri-juri itu semua pekak dan tuli. Maaf cakap.

“Dia sudah standard antarabangsa dan cuma perlukan satu lagu hit sebagai ‘signature’ kerana teknik nyanyiannya sudah bagus,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Man Bai menjadi salah seorang penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1 yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari nanti.

Turut sama memeriahkan konsert itu nanti ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Nash, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin dan Amir Masdi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya