Malaysia, Turkmenistan tubuh suruhanjaya bersama pelbagai sektor

Malaysia, Turkmenistan tubuh suruhanjaya bersama pelbagai sektor

ANWAR Ibrahim bercakap pada sidang akhbar bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkmenistan menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dengan mewujudkan suruhanjaya bersama yang merangkumi pelbagai sektor termasuk industri minyak dan gas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tersebut akan dijayakan melalui Menteri Luar kedua-dua negara bermula awal tahun hadapan.

“Sejak lawatan terakhir pada tahun 2016 oleh Gurbanguly Berdimuhamedow (bekas Presiden Turkmenistan) yang kini pemimpin kebangsaan, kita telah menyaksikan pengukuhan kerjasama ini dan juga sokongan serta kesediaan mereka terhadap industri negara, terutamanya Petronas Cari Gali.

“Dan bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih serta memberi jaminan kepada Presiden bahawa kerjasama ini akan sangat bermakna untuk memastikan manfaat dan kejayaan bersama bagi kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow di sini hari ini.

Terdahulu, Berdimuhamedow diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini sempena lawatan rasmi ke negara ini.

Beliau dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam, yang juga lawatan pertamanya ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin menekankan mengenai kepentingan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor tenaga dan mengiktiraf pengalaman positif serta berpanjangan Petronas dalam bidang terbabit.

Kedua-dua pemimpin turut komited untuk membina perkongsian jangka panjang dan kukuh dengan fokus yang kuat pada industri minyak dan gas, selain mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk meneroka peluang baharu dalam semangat manfaat bersama.

“Para pemimpin bersetuju bahawa perkongsian ekonomi antara Turkmenistan dan Malaysia mempunyai potensi yang amat besar.

“Dalam merealisasikan potensi ekonomi sepenuhnya bagi kedua-dua negara, kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk membangunkannya berdasarkan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama. Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan kesediaan bersama untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Turkmenistan-Malaysia,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Anwar dan Berdimuhamedow menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman (MoU) dan nota perjanjian antaranya berkaitan pemansuhan sebahagian syarat visa bagi pemegang pasport diplomatik dan rasmi, serta kerjasama dalam bidang industri penerbangan dan pelancongan.

Ini termasuk protokol di antara Petronas dan entiti kerajaan Turkmenistan, Turkmennebit mengenai Terma Komersial Perjanjian Perkongsian Pengeluaran Blok 1 yang baharu sektor Turkmenistan di Laut Kaspia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya