PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand komited untuk meraih nilai hubungan dagangan dua hala mencecah AS$30 bilion (RM133.8 bilion) menjelang 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sasaran itu dilihat seperti sangat bercita-cita tinggi, namun ia mampu dicapai berdasarkan potensi ekonomi kedua-dua negara.
Beliau berkata, ia juga bersandarkan usaha dan polisi kedua-dua negara dalam menyokong komitmen masing-masing dalammemperkukuhkan perdagangan intra-ASEAN serta pelaburan bersama.
“Kami komited, seperti yang telah saya nyatakan berulang kali kepada pemimpin di Thailand sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Sementara itu, Paetongtarn berkata, Thailand juga komited untuk meningkatkan kerjasama ekonomi melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan dengan memberi tumpuan kepada kesalinghubungan sempadan, ekonomi digital, dan pelancongan.
“Saya juga menekankan potensi kerjasama dalam industri getah dan halal yang boleh memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara,” katanya.
Katanya, bagi kawasan sempadan pula, isu banjir menjadi keutamaan, dan pihaknya akan bekerjasama untuk memperbaiki kesalinghubungan jalan raya dan rel, sekali gus memudahkan perdagangan sempadan dan mengukuhkan interaksi rakyat kedua-dua negara.
Terdahulu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang ekonomi dan industri.
Ia membabitkan pertukaran dokumen MoU kerjasama seni dan warisan antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Hasan dengan Menteri Kebudayaan, Sudawan Wangsuphakijkosol.
Selain itu, pertukaran dokumen MoU berkaitan kerjasama industri getah pula membabitkan Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dengan Pemangku Gabenor, Pihak Berkuasa Getah Thailand, Sukatus Tarngwiriyakul.
Pada tahun lalu, Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. -UTUSAN